
Bulan Ramadhan atau Bulan Puasa sudah tiba. Maka setiap masjid dan surau semua seperti lazimnya akan dipenuhi umat Islam untuk menunaikan solat berjemaah, maghrib dan isya' serta solat terawikh untuk mendekati diri kepada Illahi.
Cuaca pada tiga hari pertama berpuasa di bandar raya Kuching adalah redup. Di bandar raya Kuching terdapat banyak pusat membeli juadah berbuka puasa. Yang utamanya adalah di Pasar Ramadhan Satok, Bazaar Ramadhan Kubah Ria dan Gerai Ramadhan di Semarak, Kpg Pinang Jawa, tidak termasuk Gerai di Taman Sukma dan Matang Jaya.
Sesuatu yang menarik di gerai atau bazaar ramadhan ini adalah ianya bukan sahaja menjadi tempat membeli berbagai juadah untuk berbuka puasa, tetapi lebih dari itu, ia menjadi tempat bertemu kawan-kawan lama, kawan -kawan sekolah 30-40 tahun lalu dan kawan-kawan sekerja 10 tahun lalu yang lama tidak bersua dengan kita. Ada sebahagiannya sudah bercucu, ada yang sudah beranak-pinak. namun ada juga yang masih "solo", entah sampai bila.
Di masjid dan surau juga merupakan tempat untuk berjumpa sahabat-sahabat lama. Ada yang sudah berkopiah, ada yang masih bersongkok hitam. Mendekati penghujung bulan ramadhan, pasti semakin banyak kenalan lama dan sahabat-sahabat lama akan muncul . Mereka baru balik dari perantauan atau bekerja di luar bandar raya Kuching. Pulang, jangan tak pulang.

0 ulasan:
Catat Ulasan